1. Bayi baharu lahir — Boleh mendengar dan
membezakan sama ada bunyi datang dari kiri atau kanan. Mereka akan
menggerakkan kepala ke arah sumber bunyi. Bayi anda juga sepatutnya
boleh memberi tindak balas kepada bunyi
perlahan. Bayi mula senyum dan menunjukkan gerak balas kepada seseorang
pada umur sebulan dan mengenali suara ibu bapa pada umur satu hingga 2½
bulan.
• 3 hingga 6 bulan — Bayi boleh meniru bunyi percakapan.
• 4 hingga 8 bulan — Bayi menyebut satu suku kata (contoh ba, da, ga, gu).
• 5 hingga 9 bulan — Bayi menyebut beberapa suku kata berulang-ulang (contoh bababa, lalala).
• 6 hingga 10 bulan — Bayi mula menyebut perkataan mudah yang kerap didengar (emak, ayah, tak).
• 5 hingga 10 bulan — Kebanyakan bayi boleh menyebut mama, dada — yang tidak hanya merujuk kepada ibu dan ayahnya.
• 6 hingga 9 bulan — Kebanyakan bayi boleh mengikut atau mematuhi
arahan pendek yang disertakan dengan pergerakan badan atau tangan.
Contohnya meminta dia memegang objek atau tangan anda. Dalam lingkungan
umur tujuh hingga 11 bulan, bayi sepatutnya boleh mematuhi arahan
ringkas tanpa perlu ditunjuk dengan tangan.
• 7 hingga 12 bulan — Sudah pandai menggunakan perkataan mama, emak atau ayah dengan betul.
• 9 hingga 14 bulan — Biasanya sudah boleh menyebut satu patah perkataan (selain emak, ayah).
• 10 hingga 15 bulan — Sepatutnya bayi boleh menunjuk ke arah objek yang dikehendakinya.
• 11 hingga 20 bulan — Anak anda seharusnya boleh menyebut empat hingga
enam perkataan (selain emak, ayah atau nama adik beradik).
•
14 hingga 21 bulan — Si kecil boleh mematuhi arahan dua langkah tanpa
bantuan pergerakan tangan (contoh ‘Duduk di sini dan makan’). Pada umur
14 hingga 18 bulan, dia seharusnya boleh menunjukkan dua atau lebih
anggota badan dan meningkat kepada enam anggota badan pada umur 22
bulan.
• 16 hingga 20 bulan — Kanak-kanak boleh menyuarakan kehendaknya dalam satu perkataan (jus, susu, lagi, banyak).
• 18 hingga 22 bulan — Si kecil sudah boleh menggabungkan dua perkataan atau ayat mudah seperti ‘hendak susu’ atau ‘mahu lagi’.
• 16 hingga 24 bulan — Kanak-kanak seharusnya sudah boleh menguasai lebih 50 patah perkataan.
• 19 hingga 26 bulan — Menggunakan perkataan saya, awak walaupun
kadangkala terbalik. Kebanyakan kanak-kanak boleh menyebut perkataan
dengan baik apabila berumur 30 bulan.
• 24 bulan — Percakapannya boleh difahami separuh oleh orang lain atau individu yang jarang berjumpa kanak-kanak berkenaan.
• 24 hingga 32 bulan — Boleh menamakan empat gambar.
• 26 hingga 32 bulan — Boleh bercakap dalam dua hingga tiga ayat mudah.
• 27 hingga 34 bulan — Boleh memahami dua arahan dalam satu ayat contohnya ‘Letak cawan di atas meja atau sebelah buku’.
• 29 hingga 34 bulan — Boleh menamakan dan kegunaan sekurang-kurangnya
dua objek. Kanak-kanak seharusnya boleh mengenali satu warna pada umur
2½ hingga 3¼ tahun dan empat warna pada umur tiga hingga 4½ tahun.
• 3 tahun — Hampir 75 peratus pertuturannya boleh difahami orang yang
jarang bertemu kanak-kanak ini. Pada umur ini mereka boleh menguasai
lebih 250 perkataan. Pada umur empat tahun, percakapannya seharusnya
boleh difahami sepenuhnya dan mampu menguasai 600 perkataan. Saringan
pendengaran boleh dilakukan pakar kanak-kanak melalui satu ujian mudah
(audimetri) apabila mereka boleh memberi kerjasama (biasanya selepas
umur empat tahun). Kanak-kanak (dari dilahirkan hingga empat tahun)
perlu berjumpa pakar pendengaran untuk ujian selanjutnya. Jika anda
fikir anak anda lewat bercakap, bawa si kecil untuk jalani ujian
pendengaran. Pada masa yang sama, kanak-kanak yang ada masalah lewat
bercakap juga perlu dirujuk kepada pakar terapi pertuturan atau pakar
psikologi jika perlu secepat mungkin.
Pada masa yang sama ibu bapa juga boleh membantu meningkatkan percakapan anak seperti berikut:
a. Membaca buku kepada anak, terutama buku bergambar di mana anda boleh mengajaknya untuk menunjuk atau menamakan objek.
b. Gunakan bahasa mudah apabila bercakap dengan anak, dibantu dengan
gerak badan atau tangan. Tanya banyak soalan kepada anak. Pastikan anda
‘bercakap’ dengan si kecil dan bukan memberi arahan.
c. Beri tindak balas segera apabila anak bercakap untuk memberi dorongan kepadanya.
d. Ulang perkataan atau ayat anak anda dengan menambah beberapa perkataan lagi bagi memanjangkan ayat berkenaan.
e. Sabar melayan anak dan jangan marah jika dia melakukan kesilapan.
Beri masa untuk anak menghabiskan ayatnya. Jangan paksa anak anda untuk
bercakap.
Sumber FB: ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA'
No comments:
Post a Comment