Saturday 30 November 2013

Berdiet Selepas Bersalin

Petua Untuk Berdiet Selepas Bersalin


Adakah diet dalam pantang tradisional yang diamalkan oleh ibu-ibu benar-benar membantu? Banyak tenaga dan kekuatan tenaga simpanan dalam tubuh ibu telah digunakan selepas bersalin. Oleh demikian, diet seseorang ibu selepas bersalin adalah penting untuk membantunya sembuh kembali dan pulih daripada kepenatan bersalin, dan juga untuk penghasilan susu ibu. Kebanyakan ibu-ibu mematuhi peraturan berpantang tradisional turun temurun. Budaya berlainan mempunyai pilihan makanan berpantang mereka sendiri. Berikut adalah makanan baik untuk ibu yang lepas  bersalin:

a. Jamu (herba, akar dan rempah ubatan) - Jamu membantu memanaskan tubuh ibu, meningkatkan aras tenaga, menghilangkan lemak dan toksin berlebihan daripada tubuh, serta mengecutkan rahim. Buat masa ini tiada kajian atau bukti terperinci yang membuktikan manfaat pengambilan jamu selepas bersalin, tetapi para pakar bersetuju bahawa aroma jamu sememangnya menenang dan menyamankan apabila disapu di seluruh tubuh. Bagi jamu yang diambil secara oral, utamakan kualiti dan kebersihan jamu bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.

b. Halia - Halia dianggap makanan yang “memanaskan”; ia membantu menggalakkan peredaran darah, mencegah atau melegakan angin dan menguatkan sendi. Walaupun kajian menunjukkan bahawa halia mungkin boleh mengurangkan rasa loya dan muntah semasa hamil, namun tiada kajian yang telah menyokongnya sebagai makanan yang “memanaskan”. Anda boleh menggunakan halia sebagai rempah dalam makanan berpantang tetapi pengambilan berlebihan mungkin boleh mengakibatkan ibu melepaskan “angin”. Angin ini bukan daripada sendi atau kepala ibu yang baharu lepas bersalin dan tiada kaitan dengan sebarang sakit belakang atau sakit sendi di masa hadapan.

c. Ikan Haruan - Sup ikan daripada ikan haruan segar mempunyai ciri merawat yang menggalakkan penyembuhan luka dalaman, terutama sekali wanita yang telah menjalani pembedahan Caesarean. Mengikut satu kajian, ikan haruan mengandungi asid amino dan asid lemak tertentu yang penting untuk penyembuhan kecederaan. Secara amnya, makanan berprotein tinggi (seperti ayam itik, daging tanpa lemak, ikan dan produk tenusu) boleh mempercepatkan penyembuhan luka atau kecederaan. Ibu-ibu perlu memastikan pengambilan pelbagai jenis makanan sumber protein untuk membantu mereka pulih dengan segera.

d. Herba Cina - Sup herba disediakan menggunakan herba Cina tradisional tertentu, seperti kurma merah, kei zhi (wolfberry) dan dong guai (angelica), yang dikatakan boleh membantu menyihatkan darah, merawat simptom selepas bersalin seperti discaj yang berpanjangan dan membaiki tahap tenaga. Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa herba Cina akan memanfaatkan ibu selepas bersalin, tetapi kajian telah menunjukkan bahawa herba-herba ini bersifat antioksidan. Kesan sedemikan mungkin boleh membantu menggalakkan penyembuhan tisu dan menguatkan sistem imun. Namun demikian, janganlah mengambil herba sehingga keterlaluan kerana antioksidan seperti vitamin C dan E boleh diperolehi secara semulajadi daripada buah-buahan dan sayuran.

e. Sayuran Labu (seperti labu botol dan timun Jepun) - Ia membantu meningkatkan pengeluaran susu ibu. Tiada makanan khusus yang boleh meningkatkan pengeluaran susu ibu. Namun demikian, bagi memastikan pengeluaran susu yang berterusan, minumlah cecair yang mencukupi untuk mengganti semula cecair yang hilang daripada tubuh anda. Anda juga perlu makan dan rehat dengan sempurna supaya mempunyai tenaga untuk penghasilan susu yang optimum. Yang paling penting, teruskanlah penyusuan susu ibu.

No comments:

Post a Comment