Thursday 21 February 2013

Kesihatan Kaki

Jaga Kaki. Share info pasal penjagaan kaki dan kesihatan kaki la pulak. Bukan ape, kaki ni selalu jer diabaikan kesihatannya. Sakura dapat info nie dari FB: Ensaiklopodia Petua Melayu Lama


Info Mengenai Kesihatan Kaki

1. Rengsa Pada Otot-Otot Labu Betis Kaki – Jika anda menghadapi masalah ini biasanya mengadu rasa sakit teramat sangat apabila anda mula memijak lantai selepas bangun tidur. Atau pun, beberapa langkah pertama selepas duduk dalam jangka masa yang lama. Rasa sakit ini berkurangan apabila melakukan aktiviti. Otot-otot labu betis terletak pada bahagian belakang kaki hingga ke tumit.
Masalah ini boleh menjadi semakin serius dengan pelbagai aktiviti yang menyebabkan tekanan pada tendon. Biasanya ia dihadapi oleh atlet terutama pelari jarak jauh. Antara sebab berlakunya masalah ini ialah pemilihan kasut yang salah, kecederaan pada tendon dan kecacatan tulang tumit.

2. Bunion - Bengkak pada sendi antara ibu jari kaki dan tulang metatarsal pertama. Benjolan yang timbul ini menyebabkan ibu jari kaki tertolak ke jari kaki yang lain. Bagaimanapun, masalah yang paling kerap dialami oleh hampir kebanyakan wanita ini disebabkan pemakaian kasut yang ketat. Selain itu, ia juga disebabkan radang sendi dan kelainan pada fungsi kaki. Antara gejalanya ialah radang, pembengkakan dan kesakitan pada sisi permukaan ibu jari.

3. Kematu - Pembentukan sel-sel kulit mati yang mengeras dan menebal pada tapak kaki. Ia berlaku sebagai satu tindak balas bagi melindungi kaki akibat tekanan yang berlebihan dan geselan. Kematu, biasanya terbentuk pada tumit, benjolan tapak kaki atau bahagian bawah ibu jari kaki. Masalah ini biasanya disebabkan pemakaian kasut bertumit tinggi, kasut terlalu kecil, obesiti dan cara seseorang itu berjalan. Selain itu, tapak kaki yang rata, atau lengkungan tapak kaki terlalu dalam dan kehilangan lemak-lemak pada bawah tapak kaki juga punca seseorang itu menghidap kematu.

4. Belulang - Seperti kematu, belulang terjadi akibat pengumpulan sel-sel kulit mati pada kaki. Ia akan menebal dan lama-kelamaan menjadi keras. Ia terbentuk pada bahagian atas sisi dan hujung jari. Amat menyakitkan dan boleh menjadi radang jika ia sering tergesel dengan kasut yang dipakai. Belulang disebabkan oleh pemakaian kasut yang ketat, kasut tumit tinggi, sarung kaki dan stoking yang terlalu ketat atau kecacatan pada jari kaki.

5. Tapak Kaki Rata - Ia merupakan masalah biomekanikal yang berlaku semasa seseorang berjalan. Pergerakan semasa berjalan boleh menyebabkan tekanan yang ekstrem atau radang pada tapak kaki. Mereka yang mengalami masalah ini tidak merasai ketidakselesaannya pada masa yang sama atau langsung tidak merasainya. Tetapi, apabila gejalanya mula timbul dan rasa sakit, cara berjalannya pelik.

6. Sakit Tumit - Gejalanya dialami pada awal pagi atau selepas berehat dalam jangka masa yang lama. Ia juga antara masalah yang paling kerap ditemui. Ini kerana seluruh berat badan terpaksa diampu pada tumit. Lama-kelamaan, keadaan ini menyebabkan tekanan pada bahagian tersebut dan ketidakselesaan yang amat sangat. Dua jenis masalah tumit ini ialah, sindrom sakit tumit dan plantar fasciitis. Sindrom sakit tumit berpunca daripada tumit kasut yang terlalu rendah, pelapik pada tumit kasut yang rosak atau peningkatan aktiviti secara tiba-tiba. Manakala, plantar fasciitis disebabkan oleh tapak kaki rata. Apabila ia rata, kaki akan meregang dan menyebabkan timbulnya rasa sakit pada tapak kaki dan lengkungan tapak kaki.

7. Metatarsalgia - Kesakitan nyeri yang dirasai pada tulang-tulang metatarsal iaitu pada bahagian bawah tapak kaki berhampiran jari kaki. Masalah yang juga paling kerap ditemui ini boleh menjejaskan sendi-sendi dan tulang-tulang pada bahagian tersebut. Kasut yang tidak sesuai atau kasut yang ketat menyebabkan bahagian ini tertekan. Ia menyebabkan seseorang tidak boleh berjalan dengan normal. Sekali gus, menyebabkan kesukaran ketika berjalan kerana rasa tidak selesa pada bahagian tersebut.

Selain itu, pemakaian kasut tumit terlalu tinggi, atau mereka yang menyertai aktiviti lasak tanpa menggunakan kasut yang sesuai juga boleh menekan bahagian ini. Peningkatan usia yang menyebabkan lapisan lemak pada bahagian tapak kaki menipis, juga menyebabkan kita lebih mudah rasa sakit pada bahagian tersebut.

8. Plantar Fasciitis - Radang yang disebabkan regangan pada bahagian bawah tapak kaki. Regangan secara keterlaluan, menyebabkan rasa sakit pada tumit, lengkungan tapak kaki dan tumit.

Biasanya, regangan yang boleh menyebabkan radang dan rasa tidak selesa ini berlaku seperti berikut:

a. Tapak kaki rata.

b. Lengkungan tengah tapak kaki yang dalam.

c. Peningkatan aktiviti fizikal secara tiba-tiba.

d. Kehamilan atau berat badan berlebihan hingga membebankan kaki.

Petua Untuk Penjagaan Kaki

1. Periksa seluruh kaki anda setiap hari dengan mencari atau merasai antara celah-celah jari kaki dan kawasan tumit. Pastikan sama ada terdapat luka, rasa sakit, melecet dan kalus (belulang).

2. Guna cermin atau minta pertolongan orang lain jika anda tidak dapat melihat kaki anda.

3. Basuh kaki anda setiap hari dengan air suam dan sabun yang lembut. Jangan rendam kaki anda kerana ia akan menjadikan kulit kaki terlalu lembut dan rapuh. Jangan guna sarung tangan yang kasar atau berus dan jangan membasuh kaki anda terlalu lama.

4. Keringkan kaki anda dengan menggunakan tuala lembut dengan menepuk secara perlahan. Jangan gosok. Pastikan anda mengeringkan bahagian antara jari kaki kerana kulit yang lembab boleh membawa jangkitan. Anda juga boleh menggunakan bedak talkum pada kaki anda kerana ia boleh mengekalkan kekeringan di kaki.

5. Jika kaki anda kering, anda boleh gunakan pelembap untuk mencegah keretakan. Jangan gunakan pelembap di antara jari kaki kerana ini boleh membawa jangkitan.

6. Potong kuku kaki dengan menggunakan pemotong kuku selepas membasuh dan mengeringkan kaki anda. Potong kuku mengikut bentuk kuku dan jangan terlalu pendek. Ingat, jangan potong di bahagian sudut kuku. Ini boleh menyebabkan cekam atau kuku kaki tumbuh ke dalam kulit. Kemudian, kikis kuku kaki dengan pengikis kuku untuk meratakannya.

7. Jangan menggunakan alat-alat untuk rawatan kaki seperti pengikis untuk menghilangkan kalus, pisau cukur, gunting hujung tajam dan plaster kematu, jika anda menghidap diabetes. Peralatan ini dengan mudah boleh menyebabkan kecederaan atau merosakkan kulit. Gunakan batu lahar untuk menanggalkan kalus selepas membasuh kaki. Gosok batu tersebut dengan lembut di atas kalus pada satu arah sahaja. Teruskan melakukannya selama 8 minit setiap hari sehingga kalus tersebut ditanggalkan.

8. Sentiasa memakai sandal apabila ke kolam renang.

9. Jangan ke mana-mana dengan berkaki ayam, walaupun di dalam rumah.

10. Jangan biarkan kaki anda terdedah kepada suhu yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

11. Lakukan senaman dan urutan kaki setiap hari untuk merangsang peredaran darah. Jangan pergi ke rumah urut untuk berurut kerana ia boleh mencederakan kaki anda.

12. Jika kaki anda luka atau melecet, bersihkan luka tersebut dengan serta-merta menggunakan salina. Sapukan krim antiseptik dan balut bahagian tersebut dengan pembalut steril. Terus membalutnya sehingga luka tersebut sembuh. Dapatkan rawatan perubatan jika luka berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda sembuh selepas 2 hari.

No comments:

Post a Comment