Salam bulan baru dan lagi 9 hari nak puasa
Bahagian 1
Jika mahukan anak-anak yang baik & soleh. Berdoalah senantiasa dan
niatkan dengan sungguh-sungguh semasa bersama. Semoga benih yang menang
itu adalah yang membawa ciri-ciri itu dengan kuatnya.
Bahagian 2
Semasa isteri mengandung jagalah perasaannya. Isteri yang mengandung
dan merasai sangat dikasihi suaminya akan tenteram perasaannya dan
memberi kesan baik kepada janin yang di dalam kandungannya.
Isteri yang dicalarkan emosinya semasa mengandung terutamanya, akan
membawa perasaan itu dan memindahkan tenaga negatif itu ke bayi di dalam
kandungannya. Inilah punca utama kenapa bayi itu bila lahir mudah
menangis dan meragam. Bila sudah besar sedikit suka merajuk atau
mengamuk.
Itu sebab di dalam Islam, kita disuruh menjaga perasaan ibu-ibu yang mengandung.
Bahagian 3
Sistem Kepercayaan Dalaman - Deep Rooted belief
Terbina semasa di di dalam kandungan lagi dan pada hari kelahiran kita.
Kepercayaan diri ini memberi kesan kepada kejayaan kita. Jika ia
positif maka kita akan mudah berjaya. Jika ianya negatif, itulah punca
terjadinya pensabotaj diri dari berjaya.
Belief---->mindset--->Behavior-----> Result
Bahagian 4
Sistem Kepercayaan - Belief System
Seorang kanak-kanak ketika dilahirkan, disambut dengan penuh kasih
sayang dan diraikan dengan kegembiraan dan keriangan. Suami mengucup
isterinya dan melimpahkan segala kasih sayang dan kesyukuran. Mereka
menghargai antara satu sama lain dengan kurniaan yang baru diterima.
Mereka diselimuti dengan keindahan, penuh
kasih sayang, dan disimbahi dengan lautan kegembiraan dan keriangan
bersama. Mereka berterima kasih atas pemberian yang indah itu dan
merasakan diri mereka sungguh diberkati.
Mereka menatang bayi
itu dengan segunung kasih. Dia berendam dalam melodi kasih yang indah.
Apabila dia membuka mata, dia melihat wajah-wajah yang penuh dengan
senyuman meraikannya. Lidahnya menyentuh susuan ibunya dan suatu rasa
manis yang enak dikecapi di lidahnya. Wangian yang mempesonakan dari
tubuh ibu bapanya memberinya rasa selamat dan tenang. Dia mendengar
suatu suara yang indah, iaitu suara bapanya yang sering mendodoikannya
untuk tidur ketika dia masih berada di dalam rahim ibunya lagi.
Perasaan dikasihi, doa dimakbulkan, dan yang diimpikan meresap dalam
tubuh kecilnya lalu menyelimuti seluruh tubuhnya seperti selimut yang
tebal melindungi dan memanaskannya. Manis dan indahnya dunia ini
menyambut kedatangannya. Satu kepercayaan tertanam di mindanya, “Saya
dikasihi”, dan saya rasa kemanisannya. Dunia ini sungguh indah untuk
didiami.
Bahagian 5
Seorang lagi bayi dilahirkan. Ibunya keseorangan, menjerit, dan
bersabung nyawa sewaktu melahirkannya. Ia sungguh menyakitkan.
Perjalanannya sungguh payah dan memenatkan. Dia kehairanan; mengapakah
dia perlu melaluinya? Walau apa sekalipun dia tahu, dia mesti
melaluinya. Dia tidak mempunyai pilihan. Walau bagaimanapun, tiada
sesiapa di sana untuk memegang
tangannya. Dia dilahirkan, tetapi tiada tangan yang menyambutnya. Malah,
dia ditinggalkan tanpa berteman dan dibiarkan kesejukan dan kesakitan
keseorangan. Dia mendengar ibunya menangis teresak-esak, namun dia tidak
dapat melihat wajah ibunya. Ada sesuatu di muka kecilnya, mungkinkah
sehelai kain? Dan suara esakan ibunya itu semakin sayup kedengaran dan
kemudiannya terus menghilang.
Dia sedar tiada sesiapa di
sampingnya walaupun ibunya sendiri. Kain yang menyelimuti mukanya
membuatkan dirinya sukar bernafas dan dia tercungap-cungap. Sungguhpun
dia diselimuti dengan kain yang sedemikian, kesejukan lantai itu mula
menyakitinya dan menusuk ke tubuh kecilnya. Dia mencuba dengan sedaya
upaya untuk bergerak. Namun begitu, dia tidak boleh mengawal tubuhnya.
Dia mula tertanya-tanya dan perasaan cemas menjalar di fikiran kecilnya,
“Mengapakah saya ditinggalkan keseorangan? Mengapakah tiada sesiapun di
sini?”
Perasaan marah, sedih, takut, dan bersalah menyelinap
dan menular ke seluruh tubuh kecilnya, satu demi satu, bertalu-talu.
Perasaan tidak dihargai dan tidak disayangi bertapak dan meliputi
seluruh hatinya. Dunia yang menyambutnya atau mungkin boleh kita katakan
tidak ‘menyambutnya’ ialah dunia yang penuh dengan kegelapan dan
kesakitan.
Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana mungkin
suasana seseorang itu lahir ke dunia ini akan memberikan kesan terhadap
keseluruhan hidupnya. Bagi seseorang, gambaran pertama terhadap sesuatu
perkara adalah sangat penting dan dalam banyak situasi gambaran pertama
ini akan berkekalan. Mari kita lihat pada sudut pandangan sistem
neurologi manusia. Apabila sesuatu perkara seumpama ini terjadi, manusia
akan membentuk tanggapannya. Daripada tanggapan ini dan seterusnya,
itulah pandangannya kepada dunia ini. Ia menjadi model dalam fikirannya
terhadap dunia ini.
Bahagian 6
Gunakanlah masa mengandung ini
untuk memprogramkan bayi anda agar dia mempunyai sistem kepercayaan
yang positif. Contohnya untuk dia mempunyai ketabahan, kesabaran, baik
budi pekerti dan apa yang anda hajati. Katakan dan doakan dia dengan kata-kata yang positif. Contoh, " Anak Mama pengasih orangnya".
Anda boleh melakukan ini dengan membanyakkan amalan baik dan soleh.
Bacalah surah-surah dan doa-doa yang baik untuk diamalkan semasa
mengandung. Ibu suka membaca surah Maryam dan membanyakkan doa 'Allahuma
yasir wala tuasir". Jika anda ada amalan doa yang lain boleh share di
sini untuk kepentingan ramai.
Suami yang mengusap perut isteri
sambil berdoakan anak yang di dalam kandungan dan menjaga hati isterinya
yang sedang hamil, sebenarnya membina dua pertalian yang sangat rapat,
dengan isteri dan anak yang di dalam kandungan. Tahniah dan syabas
kepada para suami yang melakukan sedemikian.